Kemunculan Starlet generasi baru bermula, selepas Toyota bertindak mengorbankan versi ‘kambing’ dari senarai kenderaan mereka. Generas...
Kemunculan Starlet generasi baru bermula, selepas Toyota
bertindak mengorbankan versi ‘kambing’ dari senarai kenderaan mereka. Generasi baru
ini merujuk kepada siri EP70 / EP80 / EP90 yang menggunakan pacuan roda depan,
berbanding pacuan belakang pada model sebelumnya. Bukan saja-saja nak tukar,
tapi disebabkan trend semasa selain ingin mengurangkan kos binaan.
Percaturan tersebut tidak mengurangkan pengaruh Toyota
termasuk di negara ini. Ditambah faktor ekonomi semasa, siri EP/70 berjaya
menguasai segmennya untuk tempoh yang agak lama.
Namun apabila tiba giliran EP80 mengambil tempat, jumlah
jualannya mula berkurangan akibat penguasaan kenderaan tempatan yang jauh lebih
murah. Jangan kata pintu dua macam ni, yang biasa emppat pintu pun jarang-jarang
dah boleh jumpa.
GT Turbo ini merupakan varian tertinggi dalam keluarga
Starlet generasi keempat. Ia sebagai pilihan kepada mereka yang inginkan kereta
kecil berprestasi, yang sememangnya popular ketika itu. Berbanding model Pulsar
Gti-R dan Interplay GT-R yang dibina khas sebagai jentera homologasi rali, Starlet GT lebih berorientasikan pemanduan harian, tapi boleh terus dibawa ke
trek jika mahu.
Khairul membeli Starlet GT ini kira-kira dua tahun yang
lalu. Kurang pasti tentang sejarah silamnya, tapi diperolehi dalam kondisi
standard dan memuaskan. Di tangan Khairul, kereta ini bukan sahaja ditatang
bagai sirap yang penuh. Tapi turut dianjak ke tahap yang lebih baik menerusi
kerja-kerja naik taraf yang bersesuaian.
Bagi masyarakat Starlet dan Sub Kompak lain, enjin 4E-FTE
yang dibekal standard kepada model ini diakui mampu memberikan tujahan kuasa
yang diharapkan. Asal tak jumpa enjin yang sesuai, memang inilah yang akan
dipilih. Dengan kuasa sekitar 130hp, ia diakui antara enjin yang paling berkuasa
dan lasak dalam kelasnya ketika itu.
Seperti enjin popular yang lain, 4E-FTE juga pernah
dibangunkan secara ekstensif oleh para tuner terkenal. Jadi pencarian komponen
berprestasi yang sesuai menjadi lebih mudah.
Untuk kereta ini, proses naik taraf enjin ini melibatkan
beberapa perubahan penting di bahagian dalaman. Antaranya, penggunaan set
piston ROSS 75mm, conrod dari Scat, serta set galas enjin King Bearing. Bahagian
kepala silinder menerima kerja-kerja port & polish, sebelum disumbat sepasang
camshaft billet 265°.
Tumpuan turut diberikan kepada sistem pendesak. Tersembul keluar
pada manifold ekzos adalah turbo TD05 25G, yang diikuat bersama wastegate Tial
38mm. Unit intercooler top mount asal telah di alih ke bawah, menggunakan intercooler
dan paip sambungan kustom. Lebihan boost yang tidak diperlukan, seterusnya
dilepas keluar menerusi injap pelepas Turbosmart.
Penyampaian bahan api dibantu pam petrol AVS yang menghantar
bekalan ke set injektor 510cc. Jumlah tekanan dan balikkan dikawal menerusi
unit regulator Works Engineering. Bagi menghapuskan masalah cut yang wujud di
sana sini, unit ECU ini telah dihubungkan kepada piggyback Greddy e-Manage
untuk memudahkan proses talaan.
Bahagian luar masih kekal menggunakan kit badan standard
Starlet GT. Sunroof pun dah siap pasang. Yang Khairul tambah cuma unit spoiler
dari Tom’s, serta sepasang cermin sisi Ganador. Bersangkut dengan rupa luaran
adalah rim Advan RG berukuran 15-inci, yang dipadankan dengan getah Hankook
Ventus V12 dari saiz 195/50R-15. Sementara sektor pengendali pula, menerima set
suspensi boleh laras dari TRD.
Sebelah dalam nampak standard seperti yang sepatutnya. Bersama
papan pemuka tersebut, tersemat stereng Momo Corse separuh lusuh serti 2 biji
Defi dibahagian tengah. Memegang kemas Khairul ketika memandu adalah tempat
duduk kepit dari Bride, manakala penumpang sebelah dialas Recaro SR3 yang lebih
selesa.
Tidak dapat dipastikan berapakah jumlah sebenar Starlet GT
berpintu dua yang pernah wujud di sini. Rasanya memang sikit sangat,
memandangkan kelibatnya hampir tidak kelihatan.
Sumber : Mekanika
Galeri :